An Experiment…

Teman…

Usahlah dirimu digamit kehairanan dengan pendekatan ku kali ini. Bukan niatku untuk mempersendakan dirimu, malah kehadiran ku kali ini telah lama ku rancangkan tetapi tidak tahu bagaimana harus ku membuka langkah. Aku sangsi, sekiranya langkah-langkah kecil yang aku orakkan ini kelihatan sumbang. Aku risau, sekiranya penggunaan kosa-kata ku amat terbatas dan aku gentar sekiranya rangkaian ayat-ayat yang aku titipkan ini terlalu banyak kekhilafan…

Aku bukanlah seorang pujangga bahasa, bukan pendekar bangsa, bukan perwira negara, bukan pahlawan agama. Aku ibarat bintik-bintik habuk yang berterbangan di udara, sama seperti mu jua teman. Eksperimentasi ini bukanlah sesuatu yang hakiki, ia hanyalah percubaan sementara, mengisi ruang kekosongan sewaktu diriku ketandusan ide untuk mewacanakan segala yang terbuku di fikiran, untuk mentintakan peristiwa & detik yang memberi sesuatu impak dan kenangan dalam perjalanan kehidupan ini.

Sekalung budi ku hadiahkan buat saudari Lin, kerana memberi ku inspirasi untuk berbicara di dalam bahasa ibunda. Sejuta kemaafan ku hulurkan seandainya penguasaan bahasa ku terbatas. Ku harap, tiada sesiapa yang tersinggung, apalagi terkejut dengan perubahan mendadak ini. Seperti yang telah ku katakan, ini hanyalah satu eksperimentasi. Bukan perubahan hakiki…

Selamat berhujung minggu duhai teman…